MENU

BERSIH...HALAL...BERPERISA

Monday, September 1, 2008

SEJARAH - DIAZ Homemade Cookies

Assalamualaikum wr. wbt...

DIAZ Homemade Cookies mula beroperasi secara kecil-kecilan di rumah sejak tahun 2004. Idea untuk memulakan perniagaan cookies ni bermula setelah rakan-rakan sepejabat, kenalan rapat dan jiran-jiran terdekat memuji keenakan rasa cookies Diaz.

Sebelum ini, Diaz sendiri cuma membeli cookies dari kedai atau bazaar. Semua sedia maklum, agak sukar untuk mendapatkan cookies yang dijual di kedai atau bazaar yang menepati citarasa kita. Ada kalanya cookies terlalu keras, tawar, kurang berperisa dan yang paling menyedihkan, rasanya seakan-akan sama meskipun nama, rupa bentuk dan warnanya memang pelbagai dan nampak menarik.

Menerima hakikat itu, Diaz ada juga menempah cookies daripada orang perseorangan jika inginkan cookies yang lebih menepati citarasa. Biasanya, Diaz dan beberapa orang rakan sepejabat akan menempah cookies untuk Hari Raya daripada seseorang yang Diaz namakan sebagai 'kak T'. Beliau memang mengambil tempahan cookies secala kecil-kecilan di rumah. Rasa cookiesnya juga sedap. Kami diperkenalkan kepada kak T oleh salah seorang rakan sepejabat. Sejak itu, kami telah menjadi pelanggan tetap kak T sejak dua-tiga tahun berikutnya.

Tetapi, lain pula masalah yang timbul semenjak kami menempah cookies dari kak T. Setiap tahun, ada saja tempahan kami yang kurang. Ada pula yang mendapat cookies yang berbeza daripada apa yang ditempah. Alasan yang diberikan kak T, beliau terlupa, kami sendiri yang tersilap catit dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, kami tidaklah kisah sangat. Asalkan masing-masing ada cookies yang sedap untuk disajikan kepada tetamu di Hari Raya sudah memadai.

Namun segalanya bermula pada tahun 2003. Kami menempah cookies dari kak T seawal seminggu sebelum puasa. Senarai tempahan dicatit dengan kemas dan seperti biasa, satu salinan akan disimpan sebagai rujukan untuk kami sendiri. Dalam catitan tersebut juga telah dimaklumkan tarikh kami ingin mengambil cookies iaitu kira-kira seminggu sebelum Hari Raya.

Menjelang seminggu sebelum raya, kami tidak menerima apa-apa maklumat daripada kak T berhubung cookies yang ditempah. Biasanya kak T akan menghantar cookies tersebut ke pejabat. Kami pun menghubungi kak T untuk bertanyakan hal itu. Kak T menyatakan ada sesetengah cookies belum siap dan meminta untuk menghantarnya dua hari kemudian. Memandangkan hari yang dinyatakan merupakan hari terakhir bekerja sebelum masing-masing mula bercuti, kami pun bersetuju dengan permintaan kak T.

Hari terakhir yang dijanjikan telah tiba. Masa berjalan dan terus berjalan sehinggalah jam 5.00 petang. Kelibat kak T belum juga kelihatan. Pada sebelah pagi kami telah menelefon kak T dan beliau menyatakan akan menghantar cookies sebelum jam 5.00 petang. Kami telefon lagi. Kali ini kak T beritahu keretanya rosak dan tiada siapa yang dapat membantunya menghantar cookies kepada kami pada hari itu. Agak hairan ya kenapa kak T tidak menelefon kami memaklumkan hal tersebut sehinggalah kami yang menelefon beliau...hmmm

Memandangkan esoknya kami telah bercuti, kami perlu mengambil cookies tersebut petang itu juga. Jadi, kami maklumkan kepada kak T bahawa kami akan menghantar despatch untuk pergi mengambil sendiri cookies di rumahnya. Kami memang telah sedia maklum alamat kak T daripada rakan sepejabat yang memperkenalkan kami kepada kak T.


Mendengar keputusan kami, kak T tidak berkata apa-apa dan hanya bersetuju sahaja. Setelah kira-kira setengah jam despatch kami bergerak menuju ke rumah kak T, kami mendapat panggilan daripada despatch tersebut. Begini bunyinya perbualan salah seorang daripada kami dengan despatch tersebut...

"Kak, cookies akak-akak semua banyak yang belum siap. Ada yang baru nak diisi dalam bekas, ada yang tengah dok bakar, ada yang masih rupa tepung pun ada. So camana kak? Nak tunggu jugak ke?."

"Cuba tanya kak T berapa yang dah siap. Awak ambik yang dah siap je. Yang belum siap tu cakap kat kak T tak payahlah sebab dah tak sempat."

"Saya dah tanya. Cuma 5 bekas yang dah siap. Biskut Suji 2 bekas, London Almond 3 bekas. Lagi 26 bekas tu belum siap. Itu pun London Almond coklatnya masih cair tapi dah diisi dalam bekas. Comot betul saya tengok."

"Laa...iye ke? Hmm takpelah. Awak baliklah. Nanti saya call sendiri kak T."

Itulah dia ceritanya. Pada tahun tersebut, tak ada seorang pun di antara kami yang mendapat cookies yang telah ditempah seawal seminggu sebelum puasa. Ada yang balik kampung tanpa sebiji cookies pun dengan perasaan marah dan hampa. Ada juga yang akhirnya terpaksa juga singgah Chow Kit untuk beli cookies sebab pada masa tu agak susah nak berjumpa cookies dijual di tepi-tepi jalan seperti kebelakangan ni.

Mulai peristiwa tersebut, Diaz telah belajar asas membuat cookies daripada Ummi Diaz sendiri dan daripada ibu saudara Diaz yang memang pandai memasak. Bila dah pandai sikit-sikit barulah Diaz cuba-cuba buat cookies sendiri dan bawa ke pejabat untuk jamu rakan-rakan sekerja. Diaz juga ada berikan kepada jiran-jiran terdekat sebagai buah tangan. Tak sangka pula ramai yang memuji keenakan rasa dan kecantikan rupa cookies Diaz. Ramailah yang mula meminta Diaz menjual cookies kepada mereka. Jadi...episod berniaga cookies pun bermula...dari tahun ke tahun sehinggalah sekarang.

Alhamdulillah. Perniagaan cookies Diaz semakin maju dan mantap. Diaz memang dah ada pelanggan tetap dan juga agen yang membeli secara borong. Tetapi Diaz tetap mengekalkan konsep homemade. Pembuatan cookies juga memang terus dari dapur rumah Diaz. Pembantu Diaz juga daripada kalangan keluarga dan jiran terdekat. Ini adalah kerana Diaz memang ikhlas dan enjoy buat cookies untuk menceriakan sesiapa sahaja yang menikmati cookies Diaz. Ianya penting untuk menjaga kebersihan, kualiti dan rasa cookies Diaz.

Kepada semua pelanggan tetap, pelanggan baru dan bakal pelanggan DIAZ Homemade Cookies, jutaan terima kasih di atas sokongan anda dalam membantu menjana ekonomi bumiputera seperti Diaz. Teruskanlah menyokong Diaz dan Diaz akan sentiasa berusaha lebih baik untuk menghasilkan cookies yang BERSIH, HALAL dan BERPERISA untuk anda...

Dan kepada kak T, semoga peristiwa itu tidak berulang kepada pelanggannya yang lain. Ianya harus dijadikan iktibar oleh kak T dan oleh sesiapa sahaja termasuk Diaz yang telah atau ingin menjalankan apa jua perniagaan. Sentiasalah bersederhana dan jujur. Jangan sesekali bersifat tamak dan cuba melakukan lebih daripada kemampuan diri. Mendakilah perlahan-lahan dan penuh kesabaran agar tidak tersungkur di tengah pendakian.

Sekian. Wassalam.

1 comment:

Hemant Saluja said...

Hi!

It looks very yum. I love cookies. I want to buy it and eat.


===================================
Rajnish
look4ward

Related Posts with Thumbnails